nyaris tidak solat subuh kecuali dengan wudhu yang dipakai untuk solat Isyak
Salah satu barakah hidup bersama orang-orang soleh adalah, mereka mampu memberi nasihat dan pencerahan hati
bagi orang yang duduk bersamanya. Sekadar melihat seorang teman yang soleh akan memberi cahaya kesolehan
yang berbeza dalam diri orang yang melihatnya. Sebagaimana yang Rasulullah beritahukan “Sebaik-baik sahabat
adalah orang yang bila engkau melihatnya, menjadikanmu mengingati Allah”,
Ada seorang salaf berkata, “Jika aku merasa kegelisahan hati, maka aku segera pergi dan melihat wajah Muhammad
bin Wasi’”. (Nuzhatul Fudhala, 1/526) Ibnul Mubarak juga ada menyebut, “Jika aku melihat wajah Fudhail bin Iyadh, aku
biasanya menangis”.
Salah satu langkah peningkatan diri adalah dengan melihat orang lain yang lebih tinggi kadar ibadah, zuhud, jihad dan
ilmunya. Merekalah yang akan mempengaruhi zuhud kita, ibadah dan jihad kita. Salah satu prinsip yang dipegang oleh
orang-orang soleh terdahulu, bertemu dengan saudaranya adalah bekal spirit yang dapat mebekali kebangkitan ruhani.
Seorang ulama fiqh di Mesir yang wafat dalam tahun 191 H mengisahkan, “Aku pernah mendatangi Imam Malik
sebelum waktu fajar. Aku tanyakan dia dua masalah, tiga masalah, empat masalah, dan aku benar-benar melihatnya
dalam suasana lapang. Kemudian aku datang kepadanya hampir setiap waktu subuh. Kadangkala kerana penat, mataku
terkatup dan aku tertidur. Ketika Imam Malik keluar ke masjid aku tidak mengetahuinya. Kemudian aku dibangunkan
oleh pembantunya sambil berkata, “Gurumu tidak tidur seperti kamu. Padahal ketika usianya telah mencapai empat
puluh sembilan tahun. Setahu aku beliau nyaris tidak solat subuh kecuali dengan wudhu yang dipakai untuk solat Isyak”.
(Tartibul Madarik, 3/250)
Salah seorang salafussoleh bercerita, “Aku pernah bangun pada waktu sahur untuk mempelajari Al-Quran kepada Ibnu
Akram, seorang ulama Damsyik. Tapi ternyata kehadiranku telah didahului oleh kira-kira tiga puluh orang. Dan aku
belum mendapat giliran sampai datang waktu Asar. (Nuzhatul Fudhala, 2/1145).
Menanti giliran membaca dua halaman Al-Quran dari sebelum fajar hingga waktu Asar. Kedatangannya sebelum
fajarpun telah didahului lebih kurang tiga puluh orang.
Imam Ibnu Jauzi rahimahullah berkata, “Aku berlindung kepada Allah daripada peri hidup orang yang tidak mempunyai
cita-cita tinggi hingga boleh diteladani oleh orang lain, yang tidak mempunyai sifat warak yang boleh ditiru oleh orang
yang ingin berzuhud. Demi Allah, hendaklah kalian memerhatikan perilaku sesuatu kaum, mendalami sifat dan berita
tentang mereka. Ini kerana memperbanyak meneliti kitab-kitab mereka adalah sama dengan melihat mereka. Apabila
engkau mengatakan telah mendalami dua puluh ribu jilid buku, bererti engkau telah melihat mereka melalui kajian
engkau terhadap tingkat semangat mereka, kepandaian mereka, ibadah mereka, keistimewaan ilmu yang mereka miliki
yang tidak pernah diketahui orang yang tidak pernah membacanya…” (Qimatuz Zaman ‘indal Ulama:31).